Lokasi yang strategik iaitu di jalan Ranau- Kundasang, Sabah menjadikan Taman Arnab ini semakin dikenali dan dikunjungi oleh masyarakat setempat. Walaupun baru beroperasi sepenuhnya pada tahun 2016 lalu, taman ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat khasnya. Bagi anda yang ingin menghabiskan cuti di daerah Ranau, kawasan Kundasang khasnya, luangkanlah masa anda untuk meninjau tempat ini. Penulis akan menyediakan petunjuk lengkap untuk anda sampai ke tempat ini dalam perenggan berikutnya.
Lokasi
Disebabkan baru beroperasi, maka amat sukar untuk mengetahui lokasi sebenar Taman Arnab ini. Ini disebabkan, pihak pengurusan taman belum meletakkan papan tanda sebagai petunjuk di simpang jalan utama. Untuk makluman para pembaca, untuk sampai ke taman ini, anda perlulah memasuki simpang Jalan Kibaas Mohimboyon Kundasang seperti dalam gambar berikut. Simpang masuk Jalan Kibass Mohimboyon adalah terletak lebih kurang 5 kilometer dari pekan Ranau.
Selepas itu, anda perlu melalui jalan separuh berturap yang agak berlubang. Kereta yang diubahsuai menjadi lebih rendah akan mengalami kesukaran apabila melalui jalan ini. Gambar dibawah merupakan gambar yang sempat diambil oleh penulis semasa dalam perjalanan balik dari Taman Arnab ini.
Jarak daripada jalan utama iaitu Jalan Kibaas ke Kampung Purakagis dimana terletaknya Taman Arnab adalah lebih kurang 1.4 km. Apabila anda melihat papan penunjuk seperti yang ditunjukkan pada gambar berikutnya, maka anda berada di jalan yang betul.
Tempat Letak Kenderaan
Jangan risau tentang tempat letak kenderaan. Ianya amat luas seperti dalam gambar berikut. Ada beberapa lokasi letak kenderaan yang dikhaskan pada kawasan yang berdekatan dengan taman ini.
Yuran yang dikenakan adalah percuma bagi kanak-kanak manakala orang dewasa pula hanya perlu membayar RM 3.00 setiap orang. Tiket perlu diperolehi daripada kaunter tiket sebelum masuk ke taman ini.
Peraturan Untuk Pengunjung
Setiap lokasi yang selalu dikunjungi orang ramai mempunya peraturan masing-masing. Taman Arnab di Kampung Purakagis juga mempunyai peraturan seperti yang dinyatakan dalam gambarajah dibawah. Secara ringkasnya, jangan melakukan perkara yang boleh mendatangkan kecederaan terhadap arnab di dalam taman.
Gambar Candid Taman Arnab
Tempat ini sememangnya sesuai bagi anda yang menyukai haiwan yang comel ini. Di sini, anda boleh memberi makanan kepada arnab-arnab dengan syarat makanan diperolehi daripada kaunter pendaftaran tadi. Anda juga boleh bermain, mengusap, bergambar dan sebagainya selagi ianya tidak mendatangkan kemudaratan atau kecederaan terhadap arnab-arnab ini. Tiada masa yang dihadkan dalam memasuki taman ini, bermakna anda boleh berada di taman ini sebaik dibuka sehingga ditutup pada waktu petang. Bagi makluman pembaca, arnab yang terdapat dalam taman ini sangat jinak dan akan berusaha mendekati anda dengan harapan diberikan makanan.
Kedai Cenderamata
Juga terdapat kedai cenderamata dalam kawasan Taman Arnab ini. Mungkin anda ingin membeli sesuatu sebagai tanda ingatan atau memori bahawa anda pernah berada di taman ini atau ingin berehat sebentar bagi melepaskan penat. Jangan lupa tekan butang kongsi jika anda menyukai artikel ini.